Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.[1]
Sejarah perlaksanaan
PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.[2][sunting] Objektif
Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[3]:Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.
Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.[4]
[sunting] Pelaksanaan
PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:- Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
- Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
- Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
- MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
- CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
- Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
- Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.
[sunting] Hasil dan reaksi
Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. [6]
Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa Tempatan (Akhbar Melayu, India dan Cina) yang bahasa ibunda bukan bahasa Inggeris cenderung membantah perlaksanaannya.
Prestasi akademik
Peperiksaan
Pada tahun 2007, kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76% (94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%-90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah.[7]Pada tahun 2008, 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Pada 13 November, keputusan rasmi dilaporkan mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik. Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, 159,234 orang murid (31% dari keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kerta Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%).[8] Walau bagaimanapun, keputusan ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad, "sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," di samping menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain.[9]
Kaji selidik akademik
Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.[10]Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional ini menggunakan kepakaran 53 pakar bahasa dan melibatkan tujuh universiti awam dibuat pada Jun hingga Disember 2008. Antara universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.[11]
Kos kajian adalah sebanyak RM470,000, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel bagi kajian yang dijalankan selama tujuh bulan.
Antara hasil kajian juga mendapati PPSMI:
- menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
- PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)
Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)[12] dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini walaupun tidak merujuk secara khusus kepada dasar PPSMI tetapi ia mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007.[13]Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.
Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.
Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).
Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus). Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian sains juga merosot secara mendadak.
Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.
Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.
Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin
Satu kajian telah dilakukan oleh Prof Dr Nor Hashimah pada tahun 2004 menunjukkan 75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan. Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat.[14][Kajian UPSI
Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut[15]:“ | Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar. | ” |
Reaksi dari bidang pendidikan
Kesan negatif
Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh 11 pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.[5]Bahasa setempat lebih sesuai
Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:“ | Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah. | ” |
Selain itu, memorandum juga merujuk laporan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries[20] ditulis oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi kemungkinan keciciran bertambah.[21]
Dasar memihak kepada keluarga di bandar
Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.[22]Bantahan golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan
Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said, Prof Muhammad Hj Salleh dan Anwar Ridhwan bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI.[23] Mereka menyatakan penentangan mereka dalam satu kenyataan bersama di sidang media pada 5 Mei 2009.[24]Enam alasan yang diberikan diringkaskan seperti berikut:
- Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Scandinavia, Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda.
- Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan.
- Beberapa masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi masih tidak cemerlang dalam pentadbiran, ekonomi dan ilmu. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.
- Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
- Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
- Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemaskini. Mereka tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, MaIaysia perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Ahli politik yang mendukung
Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa Inggeris.[25]Ahli politik yang menentang
Pada April 2008, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik."[26] Anwar mengulangi ikrar beliau untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sewaktu parti campuran Pakatan Rakyat pimpinan beliau menerima memorandum membantah PPSMI dari Gerakan Mansuhkan PPSMI di Kuala Terengganu pada 15 Januari 2009.[27]YB Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya, "(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran." Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.[28]
[sunting] Penentangan awam: Gerakan Mansuhkan PPSMI
Lihat juga Perarakan Keranda Mac 2009
Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah pergerakan bergelar Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang matlamat utamanya adalah memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan yang asalnya dikenali sebagai "Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu" ini dipimpin Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.[29] Walaupun kelihatan erat dengan Pakatan Rakyat, GMP menolak tanggapan bahawa mereka menyokong parti campuran tersebut[30], apatah lagi ada juga beberapa ahli politik Barisan Nasional yang menyokong perjuangan mereka, misalnya Datuk Puad Zarkashi dari UMNO.[31]GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, di perkarangan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 31 Januari 2009, yang dihadiri oleh tokoh-tokoh berkenaan bahasa seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penyair Dinsman dan Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar, aktivis teater Khalid Salleh, serta ahli-ahli politik Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, dan Kamaruzzaman Mohamad,[32] dan juga pejuang bahasa-bahasa Cina dan India seperti Yayasan Tamil Malaysia dan Dong Jiao Zong.[33] Kemuncak bantahan GMP ke atas PPSMI ditunjukkan melalui perarakan secara besar-besaran pada 7 Mac, di mana mereka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesaikan isu PPSMI.[34]
Perjuangan GMP turut dibantu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.[35], di samping dilaporkan merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan bergelar "Keranda 152", sempena dakwaan PPSMI tersebut pada bulan Februari.[36]Akan tetapi pada 15 Februari 2009, tunjuk perasaan "Keranda 152" itu tidak menjadi kenyataan, akhirnya mereka membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur yang diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa dan diketuai oleh Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin dan berkata, laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu.[37]
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut kuat membangkang dasar PPSMI. Pada 18 Februari 2009, PKPIM mengikut jejak Gapena membuat laporan polis yang seumpamanya terhadap kerajaan di Balai Polis Gombak, Selangor.[38]
0 comments:
Post a Comment